Friday, February 18, 2011

Kisah Tukang Sikat Rambut Anak Firaun


Di zaman dahulu, Firaun, Raja Mesir ada mempunyai pekerja yang bekerja untuk menyikat rambut anak-anak perempuannya. Pada suatu hari dengan kehendak Allah, terjadilah satu peristiwa yang mengukir sejarah sehingga ke hari ini. Ketika Masitah menyikat anak perempuan Firaun, ditakdirkan jatuhah sikat itu daripada tangannya.

Lantas secara spontan, terkeluarlah perkataan, 'Dengan nama Allah celakalah Firaun' dari mulutnya.

Apabila terdengar sahaja oleh anak Firaun itu, lalu berkatalah dia kepada Masitah, "Wahai tukang sikat rambutku! Apakah ada Tuhan selain daripada bapaku?"

Masitah menjawab, "Ya, memang ada."

Seterusnya berkatalah anak Firaun kepada Masitah, "Mahukah engkau aku sampaikan perkara ini kepada bapaku?"

Masitah pun menjawab ringkas, "Ya , baiklah."

Maka anak Firaun pun segera memberitahu bapanya kan perkara tersebut. Apabila terdengar sahaja berita tersebut, Firaun pun memerintahkan supaya Masitah dibawa mengadap kepadanya.

Apabila Masitah datang mengadapnya, lalu Firaun pun bertanya kepada Masitah. Katanya yang berbunyi, "Apakah ada Tuhan selain dariku?"

Masitah menjawab dengan tegas, "Tuhanku ini adalah Allah (Wajibul Wujud)."

Mendengar jawapan itu, Firaun pun menitahkan pegawainya memujuk Masitah supaya mengubah pendiriannya atau membuangkan keimanannya itu. Setelah beberapa cara atau bermacam-macam pujukan dilakukan, namun Masitah tetap dengan pendiriannya. Malah, Masitah memberikan jawaban dengan tegas, "Allah Tuhanku dan Tuhanmu sekalian."

Mendengar yang demikian, bertambah murkalah Firaun lalu digertaknya Masitah, suami serta anak-anaknya. "beta akan bunuh sekalian keluargamu!" gertak Firaun.

"Baiklah," jawab Masitah. "Akan tetapi, ada permntaan hamba yang harus tuanku tunaikan iaitu hamba mahu sekiranya kalau tuanku akan membunuh hamba, kuburkanlah hamba ini di suatu perkuburan."

Firaun pun menitahkan hulubalangnya membawa belanga besar yang berisi minyak bagi merebus dan menghukum masitah dan anak-anaknya serta suaminya.

Dengan panasan minyak yang mendidih di atas api, lalu dilontarkan anak-anak Masitah dan suaminya. Kini tinggallah Masitah dengan anak kecilnya yang sedang dalam pangkuannya yang masih menyusu. Betapa pilu dan sedihnya tidaklah dapat dibayangkan.

Akan tetapi Masitah tidak gentar untuk memasuki minyak yang panas itu. Rasa terharu menyebabkan beliau tertahan-tahan untuk terjun kerana melihat anaknya yang masih menyusu dan tidak mengetahui apa-apa.

Lalu dengan kudrat Allah, anak yang masih kecil itu berkata kepada ibunya, "Wahai ibuku, masuk sajalah ke dalam belanga ini. Sesungguhnya ibu berada di atas pihak yang benar."

Dengan demikian, apabila didengar saja perkataan tersebut, maka bertambah beranilah ia untuk masuk ke dalam belanga itu. Lantas terjunlah Masitah bersama anaknya ke dalam belanga tersebut.

Maka berakhirnya riwayat hidupnya di atas dunia yang fana ini dalam mempertahankan keimanannyakepada Allah S.W.T. dengan penuh kejayaan. Setelah selesai peristiwa tersebut, maka Firaun pun menitahkan kepada hulubalangnya supaya menguburkan Masitah sekeluarga di dalam satu kubur sebagaimana permintaan Masitah sebelum ia dibunuh.

Oleh kerana teguhnya iman terhadap Allah dan kesungguhan tekad di dalam hati mereka masing-masing, lantaran tidak ada was-was dan ragu-ragu di dalam menghadapi percubaan dan perjuangan iman, maka Allah mengharumkan kuburnya sampai bertahun-tahun lamanya.

Daripada kisah ini, kita yakin bahawa iman seseorang kepada Allah tidak akan dibiarkan begitu sahaja tanpa diuji bagi menentukan sejauh mana teguhnya keimanan itu.

Sebagaimana firman Allah yang bererti, "Adakah manusia itu mengerti bahawa mereka akan diberikan sahaja berkat, kami telah beriman. Dengan tiada mendapat cubaan daripada Allah."

Kita hari ini harus bersyukur kerana kita tidak menghadapi ujian seperti yang dilalui oleh Bilal R.A., Masitah, Sumaiyyah, Ammar dan sebagainya, tetapi hari ini apabila Allah S.W.T. menguji kita dengan sedikit sahaja, kita sudah mengatakan yang bukan-bukan terhadap Allah S.W.T.

Misalnya apabila kita sakit, kita akan segera mengeluh tanpa memikirkan apakah sakit kita ini sama dengan sakit yang ditanggung oleh Nabi Ayyub A.S. Kita sepatutnya bersyukur kerana itu adalah kehendak Allah ke atas kita. Ia juga adalah untuk keselamatan dan kebaikan kita. Mungkin dengan sakit yang diberikan kepada kita itu akan menghalang kita daripada memakan sesuatu yang akan memudaratkan terhadap kesihatan kita. Allah itu lebih mengetahui dan Dialah yang paling layak untuk mentadbirkan diri kita.


p/s: actually saye search kat google nk cari 'kebaikan menyikat rambut'. sebab saye malas sikat rambut kan. so nk cari la kebaikan sikat rambut ni.mane la tau dh tau kebaikan jd rajin nk sikat nnt =)) tp terjmpe kisah ni..sebelum ni ade gak dengar kisah mashitah. tp x detail =)) now dh tau jalan cerita die.kagum saye dengan kisah2 hamba Allah terdahulu. iman mereka sangat kuat. huhu so kawan2 marilah kite contohi sifat2 mereka ini =)

2 comments: